BAHAN-BAHAN PENGAJARAN

             BAHAN-BAHAN PENGAJARAN ADA DUA JENIS IAITU BAHAN PENGAJARAN            ELEKTRONIK DAN BAHAN BUKAN ELEKTRONIK.

PENGENALAN
            Dalam proses menyampaikan pengajaran dan, seorang guru perlulah membuat persediaan awal.  Ini penting untuk memastikan pengajaran beliau pada hari itu berkesan dan mencapai sasaran standardnya. Selain daripada itu pengajaran yang menarik dapat memberi kesan yang baik kepada murid-murid. Oleh itu seseorang guru tidak sepatutnya hanya bersedia dari segi mental dan fizikal sahaja ketika melangkah masuk ke dalam kelas. Beliau perlulah juga bersedia dengan bahan pengajaran yang akan membantu beliau memenuhi sasaran standard pengajaran dan pembelajarannya pada hari itu.

            Bahan pengajaran pada awalnya lebih dikenali sebagai Alat Bantu Mengajar (ABM), Bahan Bantu Mengajar (BBM), Bahan Bantu Belajar (BBB), Bahan Pengajaran dan Pembelajaran (BPP) dan Medium Pengajaran dan Pembelajaran (MPP). Walaupun ianya mempunyai pelbagai nama namun fungsinya masih sama iaitu untuk membantu dan  memudahkan seseorang guru itu menyampaikan pengajarannya. Menurut Dr. Khairuddin Mohamad (2011) bahan pengajaran ialah satu instrumen yang digunakan sebagai sumber untuk memantapkan teknik pengajaran guru dan pembelajaran murid.

            Perkataan ‘bahan’ lebih sesuai digunakan untuk menggantikan perkataan  ‘alat’ kerana ‘alat’ hanya merujuk kepada barang atau benda maujud. Perkataan ‘bahan’ pula lebih luas konsepnya tidak hanya merujuk kepada benda maujud sahaja.

     DEFINISI DAN KONSEP PENGAJARAN
            Seperti yang telah diperbincangkan di atas, bahan pengajaran ialah pelbagai bahan yang digunakan guru secara langsung semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Murid-murid lazimnya sukar memberikan tumpuan ketika pengajaran dan pembelajaran sedang berjalan oleh itu bahan pengajaran digunakan dengan tujuan mengekalkan penumpuan murid sepanjang tempoh pembelajaran.  Apabila murid memberikan tumpuan penuh kepada pembelajarannya maka ini secara tidak langsung memudahkan guru menyampaikan pengajaran mereka dengan berkesan dan bersistematik.

            Dari segi konsepnya, bahan pengajaran dicipta untuk digunakan oleh murid. Oleh itu bahan pengajaran yang di rekacipta perlulah boleh menarik minat murid untuk menggunakannya. Guru pula perlu memainkan peranan sebagai sumber pembelajaran yang akan membantu murid memperolehi pelbagai fakta, kemahiran dan pendapat  untuk membantu proses kognitif murid.  Ini akan menjuruskan murid ke arah pemikiran yang kreatif dan kritis.


BAHAN PENGAJARAN ELEKTRONIK

Bahan pengajaran elektronik merujuk kepada media yang menggunakan sumber elektrik. Bahan pengajaran eletronik ini semakin popular digunakan oleh guru kerana ianya mudah dan menarik minat murid. Antara contoh bahan pengajaran elektronik ialah radio, televisyen, komputer, projektor, pemain CD ataupun DVD, dan sebagainya.



BAHAN PENGAJARAN BUKAN ELEKTRONIK

Bahan pengajaran bukan elektronik adalah bahan pengajaran terawal yang digunakan oleh guru-guru sebelum wujudnya bahan pengajaran elektronik. Walaupun begitu  fungsinya masih berkesan untuk memudahkan guru menyampaikan pengajarannya.  Antara bahan pengajaran buka elektronik ialah buku, papan putih, kad imbasan, carta, majalah, simulasi, boneka, permainan bahasa dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment